10 tip menulis di media sosial

Media sosial seperti Facebook boleh menjadi medan percubaan dan juga tempat anda mengasah bakat menulis, jika ia digunakan dengan betul. Berikut saya kongsikan 10 tip menulis di Facebook agar ia boleh menjadi sesuatu yang bermanfaat untuk diri anda:

1. Biasa.

Gunakan ayat-ayat yang biasa sahaja

Jangan gunakan perkataan yang terlalu bombastik. Ingat, rakan Facebook kita bukan semuanya pakar bahasa Melayu. Ada pekerja sektor awam, swasta, kerani, jurutera, arkitek, ahli muzik, pekerja restoran dan lain-lain. Gunakan ayat biasa yang boleh difahami oleh segenap lapisan.

2. Pendek.

Gunakan ayat pendek

Yang penting tepat dan jelas. Macam yang saya sebut tadi, jangan lebih 30 patah perkataan dalam satu ayat. Ayat yang panjang cenderung disalahertikan, lewah, malah mungkin tidak komprehensif.

3. Langsung.

Gunakan ayat langsung

Yang penting mengikut tatabahasa dengan urutan subjek dan predikat. Biar jelas dan terang. Secara tepatnya, gunakan ayat aktif. Bukan ayat pasif yang sangat sukar dan tidak langsung.

4. Lengkap.

Pastikan kita menggunakan ejaan yang lengkap

Bukannya perkataan yang macam generasi Wechat tulis. ‘Aku’ menjadi ‘Aqu’, ‘Meja’ jadi ‘Mj’, ‘Malas’ jadi ‘Mlas’ dan banyak lagi. Jangan rojakkan bahasa. Habis campur bahasa Melayu dengab bahasa Inggeris.

Kalau mahu menulis dalam bahasa Inggeris, tulis lengkap dalam bahasa Inggeris. Ingat cikgu bahasa Melayu ajar macam mana dahulu.

5. Perenggan.

Ini penting

Perenggan jangan panjang. Ingat, membaca melibatkan penggunaan mata. Perenggan yang terlalu panjang atau tidak ada perenggan langsung akan menyakitkan mata. Satu isi satu perenggan. Satu idea satu satu perenggan. Jangan sesakkan pembaca.

6. Nilai.

Pastikan tulisan kita ada nilai

Biar pembaca rasa berbaloi membaca tulisan kita. Bukan entah apa-apa. Atau langsung tidak ada makna. Tentang nilai ini, ia sangat subjektif. Ada orang menulis dengan selamba sahaja. Tapi nilainya, orang boleh ketawa. Itulah nilai. Jangan ingat kita perlu serius 24 jam. Ada orang, hidupnya sudah cukup serius. Jadi media sosial pilihannya untuk merehatkan minda.

7. Ulang.

Jangan menulis pengulangan benda yang sama

Cari sisi berbeza untuk menulis benda yang sama. Apabila orang sudah bosan, orang tidak lagi berminat untuk membaca tulisan kita pada masa akan datang. Walaupun pada masa akan datang kita menulis dengan baik.

8. Berlebihan.

Jangan menulis sesuatu secara berlebih-lebihan

Atau menulis sesuatu melebihi apa yang sepatutnya. Berpada-pada dalam menyampaikan mesej, sinis, komentar, teguran dan sebagainya. Media sosial ialah dermaga untuk membina hubungan, merapatkan jaringan dengan prospek dan wahana penyampaian ilmu. Bukan platform untuk menambah musuh.

9. Jujur.

Jujur dan ikhlas dalam menulis

Ia berkaitan soal niat. Jangan sesekali mengambil kesempatan yang tidak sepatutnya. Orang boleh “menghidu” tujuan kita menulis untuk apa.

10. Semak.

Jangan lupa semak tulisan kita

Terutama dari segi ejaan, struktur ayat, isi, maksud, kesahihan fakta, dan mesej. Yang penting, jangan menulis sesuatu yang boleh memberi maksud yang berbeza. Itu sudah tentu akan mengelirukan dan memberi kesilapfahaman kepada pembaca. Lain kita tulis, lain yang orang faham.

Sumber asal: http://www.thevocket.com/


Teknik copywriting paling berkesan..

Copywriting adalah salah satu cabang di dalam Internet Marketing. Ianya adalah merupakan karangan untuk menarik minat prospek atau bakal pelanggan. Tujuaannya adalah untuk memberikan info mengenai produk dan menarik orang untuk membeli iaitu kita ingin membuat “sales” dengan copywriting ini. Ianya juga boleh dikatakan satu bentuk “closing” kepada sesuatu urusan.

 

Bagi saya , ramai yang terlalu memikirkan mengenai copywriting ini. Sehingga ada yang sanggup menghabiskan beribu – ribu ringgit untuk mengupah orang menulis mengenai produknya. Kitalah sebenarnya yang lebih mengenali produk kita daripada orang lain. Jika dah buat jualan dan ada modal, mungkin OK untuk “out-source” kepada orang lain. Namun, kalau baru bermula, semua nak upah orang, jangan terkejut jika bisnes anda tersadai kemudian hari.

Inilah teknik copywriting yang saya ikuti apabila menulis copywriting. Tak kiralah untuk website, email atau di whatsapp. Teknik ini adalah teknik promosi yang disyorkan oleh Harvard business school. Apakah yang perlu kita fikirkan dan tulis di dalam copywriting ini? Teknik ini dipanggil ABCD.

1.  Attention:

Kita mestilah mendapatkan perhatian dengan meletakkan masalah yang ingin kita selesaikan. Mungkin juga kita petik keratan akhbar atau juga contoh- contoh masalah yang berlaku. Nampak masalah itu sebagai masalah yang benar- benar bermasalah dan perlu diselesaikan dengan segera.

2. Benefits:

Ceritakanlah apakah kelebihan yang ada tentang produk atau servis kita untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kenalkpasti beberapa kelebihan yang ada dan kembangkan penceritaan anda supaya mudah difahami. Saya guna perkataan “cerita” kerana orang lebih ramai tertarik dengan bahasa santai daripada bahasa buku.

4. Credibility:

Kredibiliti boleh disampaikan berkenaan dengan produk, syarikat ataupun diri kita sendiri. Jika berkenaan dengan produk, kita boleh berikan testimoni – testimoni berkenaan dengan hasil penggunaan produk. Kita juga boleh beritahu mengenai syarikat atau diri kita sendiri dengan syarat, jangan menipu. Sebagai seorang yang baru bermula, tiada siapa yang akan beritahu mengenai diri anda di online jika bukan anda yang beritahu.

5. Direction:

Ini adalah berkenaan dengan perkara yang perlu dilakukan oleh seseorang itu jika dia berminat untuk mendapatkan produk atau servis kita. Apakah yang perlu dilakukan? Info apakah diperlukan? Bank accout manakah yang digunakan untuk memasukkan duit? Jangan biarkan copywriting anda tergantung tanpa panduan untuk mendapatkan produk atau servis.

Anda juga boleh memasukkan elemen- elemen lain di dalam copywriting anda. Penggunaan icon yang kita selalu nampak di whatsapp juga mungkin boleh membuat orang membaca secara ringan dan santai. Namun begitu, jangan terlampau membuat copywriting anda sebagai satu iklan kerana iklan terbaik tidak nampak macam iklan.

Jumpa lagi nanti!

sumber artikel: SifuAridz.com