Bersedia ke arah ekonomi digital 

BEIJING: : Pengasas Alibaba, Jack Ma, dilantik sebagai  penasihat ekonomi digital kepada Kerajaan Malaysia bagi meneraju pembangunan e-dagang negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia akan membuka bidang baharu kepada ekonomi Malaysia.

Antara projek yang akan dilaksana bersama Jack Ma ialah Zon Perdagangan Bebas Digital, yang disebut dalam Bajet 2017, yang akan dilancar bersama Jack Ma Mac tahun depan, katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Najib kini dalam rangka lawatan enam hari ke China mulai Isnin.

Beliau berkata sebagai ikon global dalam bidang e-dagang, Jack Ma akan turut membantu dalam menyediakan pakej e-ekonomi dari segi pelaksanaannya termasuk e-pembayaran, Alipay, e-pembiayaan perbankan dalam talian dan sebagainya.

Untuk itu, kerajaan akan berunding dengan Jack Ma yang mempunyai kepakaran  dalam bidang tersebut.

Beliau berharap Jack Ma juga dapat membantu menghubungkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia menerusi portal dalam talian untuk memberi akses kepada pengguna China yang merupakan pengguna terbesar dunia.

Malah, pembangunan e-dagang ini juga boleh membantu PKS negara untuk menembusi pasaran China yang mempunyai kuasa beli yang besar.

Najib yang enggan menjelaskan secara terperinci mengenai zon perdagangan bebas digital, berkata Jack Ma akan membantu Malaysia menjadikannya menarik dan beliau juga bersedia memberi idea dan pengalamannya dalam membangunkan zon itu, yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada usahawan, malah dapat mewujudkan pemangkin untuk ekonomi Malaysia.

Beliau berkata Alipay, yang merupakan platform pembayaran utama China, yang dilaksanakan oleh Alibaba, dapat juga menarik pelancong China berbelanja.

Selain itu, dari segi pelancongan, pelaksanaan Alipay akan memudahkan rakyat China yang bercuti di Malaysia, berbelanja tanpa perlu membawa wang atau pun kad kredit.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata zon perdagangan bebas digital juga akan menggalakkan pewujudan perniagaan baharu.

Malah, berdasarkan rekod perniagaan, e-dagang mampu meningkatkan pertumbuhan syarikat antara 30 dan 40 peratus setahun, dan ia juga akan mewujudkan lebih banyak pendapatan dan manfaat kepada kerajaan dari segi cukai.

Bagi rakyat, e-dagang akan membantu menurunkan kos apabila membeli dalam talian, yang membolehkan mereka menjimatkan wang, katanya.

Najib berkata Jack Ma akan datang ke Malaysia pada Mac untuk menghadiri forum transformasi global Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital.

Selain Jack Ma, Perdana Menteri berkata beliau juga bertemu pemilik Wanda Group dan Tencent Holdings yang turut menyuarakan minat masing-masing untuk menyertai ekonomi digital Malaysia.

Wanda ialah syarikat hartanah komersial terbesar China dan pengendali rangkaian pawagam terbesar dunia, manakala Tencent ialah penyedia utama perkhidmatan menambah nilai Internet di China.

Wanda, khususnya berminat mempromosikan industri pelancongan Malaysia, kata Najib. – Bernama


Ekonomi Digital Malaysia 

Malaysia akan mendapatkan idea mengenai pembangunan ekonomi digital daripada taikun internet China, Jack Ma, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan Alibaba itu antara lain untuk membincangkan mengenai perkara tersebut.

“Kita akan bincang dengan dia untuk membawa ideanya (ke Malaysia), dan ada juga ura untuk melantiknya dalam anggota majlis digital,” katanya kepada media Malaysia selepas menyambut ketibaan Najib di Beijing pada Isnin untuk lawatan rasmi enam hari ke China.

Irwan berkata ekonomi digital ialah sesuatu yang boleh dipelajari Malaysia dan bekerjasama dengan China. Ia merupakan satu trend bukan hanya sekarang tetapi untuk 10 ke 20 tahun akan datang.

“Kerjasama itu akan memberi lebih manfaat kepada Malaysia, bukan hanya dalam konteks pembangunan modal insan tetapi kemajuan ekonomi,” katanya.

Dalam Bajet 2017, sejumlah RM162 juta telah diperuntukkan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk program seperti ekosistem e-dagang dan Digital Maker Movement, serta pengenalan kategori lokasi baharu yang dipanggil Hab Digital Malaysia.

Ekonomi digital Malaysia setakat ini menyumbangkan 16.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dijangka menyumbang hampir 20 peratus kepada KDNK menjelang 2020.

– Bernama


2017 tahun ekonomi digital Malaysia

PUTRAJAYA, 13 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan lima strategi pemangkin bagi menjadikan 2017 sebagai tahun Ekonomi Internet bagi Malaysia.

Mikrokosma fizikal, pembiayaan modal risiko, perhubungan, bakat dan rangka kerja kawal aturan, merupakan pemangkin penting dalam agenda terbabit, katanya.

“Revolusi digital sangat pantas, oleh itu kita mesti menerima pakai dan mengikut perubahan,” katanya pada penutupan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia (ICM) ke-28 di sini hari ini. Najib ialah Pengerusi ICM.

Najib berkata daripada lima pemangkin berkenaan, pewujudan pemangkin mikrokosma fizikal sangat penting.

“Ia merupakan kelompok atau hab digital komuniti di mana ekonomi Internet baharu, terutama syarikat tunas, syarikat yang sedang meningkat naik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berhubung, bertumpu, berkongsi dan mencetuskan idea,” katanya.

tahun-ekonomi-digital-malaysia-2017

Najib berkata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood jelas mendesak supaya hab digital ini diwujudkan bagi memenuhi keperluan syarikat yang ‘dilahirkan digital’.

“Generasi ‘cool’ sukakan kafe hipster dan ruang pejabat konvensional seperti gudang. ICM hari ini meluluskan cadangan untuk menubuhkan dan mempromosi Hab Digital Malaysia ini,” katanya.

Menerusi MDEC, Najib berkata sumbangan ekonomi digital kepada KDNK negara telah meningkat.

“Hasil daripada komitmen berterusan MDEC, sumbangan ekonomi digital Malaysia kepada KDNK telah mencecah 17.8 peratus pada 2015. Kita sudah hampir merealisasikan sasaran 18.2 peratus yang ditetapkan untuk 2020,” katanya.

Setakat ini Najib berkata MSC Malaysia mencatatkan pelaburan bernilai RM304 juta sejak penubuhannya, dan mewujudkan hampir 160,000 pekerjaan, peningkatan 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagi menggalakkan pembukaan hab ini, perdana menteri memberi jaminan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses kelulusan, dengan memperkenalkan kategori baharu di bawah Pekerja Berpengetahuan Asing MSC, yang akan melengkapkan penubuhan Hab Digital Malaysia. – Bernama