“Segalanya semakin mudah dengan adanya akses sistem internet jalur lebar di seluruh negara. Disebabkan kita semakin mudah untuk berhubung antara satu sama lain secara atas talian, trend jualan secara atas talian juga kini semakin mendapat sambutan hangat dan pulangan dari jualan online juga semakin lumayan.”

tahun-ekonomi-digital-malaysia-2017

Artikel-artikel berkaitan ekonomi Internet,  perniagaan Internet dan pemasaran online di Malaysia. 

2017 ‘Tahun Ekonomi Internet’ Malaysia – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan lima strategi pemangkin bagi menjadikan 2017 sebagai tahun Ekonomi Internet bagi Malaysia.

Mikrokosma fizikal, pembiayaan modal risiko, perhubungan, bakat dan rangka kerja kawal aturan, merupakan pemangkin penting dalam agenda terbabit, katanya.

“Revolusi digital sangat pantas, oleh itu kita mesti menerima pakai dan mengikut perubahan,” katanya pada penutupan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia (ICM) ke-28 di sini hari ini. Najib ialah Pengerusi ICM.

Najib berkata daripada lima pemangkin berkenaan, pewujudan pemangkin mikrokosma fizikal sangat penting.

“Ia merupakan kelompok atau hab digital komuniti di mana ekonomi Internet baharu, terutama syarikat tunas, syarikat yang sedang meningkat naik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berhubung, bertumpu, berkongsi dan mencetuskan idea,” katanya.

Najib berkata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood jelas mendesak supaya hab digital ini diwujudkan bagi memenuhi keperluan syarikat yang ‘dilahirkan digital’.

“Generasi ‘cool’ sukakan kafe hipster dan ruang pejabat konvensional seperti gudang. ICM hari ini meluluskan cadangan untuk menubuhkan dan mempromosi Hab Digital Malaysia ini,” katanya.

Menerusi MDEC, Najib berkata sumbangan ekonomi digital kepada KDNK negara telah meningkat.

“Hasil daripada komitmen berterusan MDEC, sumbangan ekonomi digital Malaysia kepada KDNK telah mencecah 17.8 peratus pada 2015. Kita sudah hampir merealisasikan sasaran 18.2 peratus yang ditetapkan untuk 2020,” katanya.

Setakat ini Najib berkata MSC Malaysia mencatatkan pelaburan bernilai RM304 bilion sejak penubuhannya, dan mewujudkan hampir 160,000 pekerjaan, peningkatan 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagi menggalakkan pembukaan hab ini, perdana menteri memberi jaminan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses kelulusan, dengan memperkenal kategori baharu di bawah Pekerja Berpengetahun Asing MSC, yang akan melengkapkan penubuhkan Hab Digital Malaysia.

Kategori baharu ini yang akan dikenali sebagai Usahawan Asing Berpengetahunan Teknologi (FKE), yang akan diluluskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, akan memudahkan kemasukan usahawan global ke Malaysia.

Najib berkata pemangkin lain bagi mengembangkan Ekonomi Digital adalah menerusi kumpulan bakat, dengan ICM hari ini meluluskan peruntukan dana kumpulan – Dana Pembangunan Sumber Manusia.

Peruntukan itu akan digunakan untuk Pembangunan Bakat Analitis Data Raya (BDA) dan Mengupayakan Kepimpinan wanita menerusi Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) serta Sains Data.

“BDA merupakan pemancu utama Ekonomi Digital dan kami mengunjurkan kita memerlukan 20,000 profesional data dan 2,000 saintis data menjelang 2020. Pada masa ini kita mempunyai kira-kira 350 saintis data.

“Bagi memenuhi permintaan pasaran pada 2020, kita akan membangunkan saintis data menerusi dua kaedah – inisiatif rasmi universiti dan pembangunan profesional,” katanya.

Memandangkan rakyat merupakan pemacu utama kepada ekonomi yang lebih besar, Najib turut menekankan mengenai program eUsahawan dan eRezeki yang bermula tahun lepas.
Beliau berkata kedua-dua program ini mengupayakan rakyat untuk meningkatkan pendapatan masing-masing dan meningkatkan kualiti hidup, dan pada masa yang sama mahukan program itu terus berkembang pada tahun depan.

Najib juga berkata ICM bersetuju peruntukan biasiswa JPA disediakan untuk kursus pendidikan tinggi berkaitan teknologi digital, sama seperti yang ditawarkan untuk kursus kejuruteraan.

Pada majlis berasingan, Najib melancarkan Pelan Tindakan Strategik e-Dagang Nasional.

Pelan tindakan itu dilaporkan bermatlamat menggandakan pertumbuhan e-dagang negara kepada 20.8 peratus menjelang 2020 berbanding 10.8 peratus ketika ini. – Bernama


BEIJING: Pengasas Alibaba, Jack Ma, dilantik sebagai  penasihat ekonomi digital kepada Kerajaan Malaysia bagi meneraju pembangunan e-dagang negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia akan membuka bidang baharu kepada ekonomi Malaysia.

Antara projek yang akan dilaksana bersama Jack Ma ialah Zon Perdagangan Bebas Digital, yang disebut dalam Bajet 2017, yang akan dilancar bersama Jack Ma Mac tahun depan, katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Najib kini dalam rangka lawatan enam hari ke China mulai Isnin.

Beliau berkata sebagai ikon global dalam bidang e-dagang, Jack Ma akan turut membantu dalam menyediakan pakej e-ekonomi dari segi pelaksanaannya termasuk e-pembayaran, Alipay, e-pembiayaan perbankan dalam talian dan sebagainya.

Untuk itu, kerajaan akan berunding dengan Jack Ma yang mempunyai kepakaran  dalam bidang tersebut.

Beliau berharap Jack Ma juga dapat membantu menghubungkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia menerusi portal dalam talian untuk memberi akses kepada pengguna China yang merupakan pengguna terbesar dunia.

Malah, pembangunan e-dagang ini juga boleh membantu PKS negara untuk menembusi pasaran China yang mempunyai kuasa beli yang besar.

Najib yang enggan menjelaskan secara terperinci mengenai zon perdagangan bebas digital, berkata Jack Ma akan membantu Malaysia menjadikannya menarik dan beliau juga bersedia memberi idea dan pengalamannya dalam membangunkan zon itu, yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada usahawan, malah dapat mewujudkan pemangkin untuk ekonomi Malaysia.

Beliau berkata Alipay, yang merupakan platform pembayaran utama China, yang dilaksanakan oleh Alibaba, dapat juga menarik pelancong China berbelanja.

Selain itu, dari segi pelancongan, pelaksanaan Alipay akan memudahkan rakyat China yang bercuti di Malaysia, berbelanja tanpa perlu membawa wang atau pun kad kredit.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata zon perdagangan bebas digital juga akan menggalakkan pewujudan perniagaan baharu.

Malah, berdasarkan rekod perniagaan, e-dagang mampu meningkatkan pertumbuhan syarikat antara 30 dan 40 peratus setahun, dan ia juga akan mewujudkan lebih banyak pendapatan dan manfaat kepada kerajaan dari segi cukai.

Bagi rakyat, e-dagang akan membantu menurunkan kos apabila membeli dalam talian, yang membolehkan mereka menjimatkan wang, katanya.

 

Najib berkata Jack Ma akan datang ke Malaysia pada Mac untuk menghadiri forum transformasi global Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital.

Selain Jack Ma, Perdana Menteri berkata beliau juga bertemu pemilik Wanda Group dan Tencent Holdings yang turut menyuarakan minat masing-masing untuk menyertai ekonomi digital Malaysia.

Wanda ialah syarikat hartanah komersial terbesar China dan pengendali rangkaian pawagam terbesar dunia, manakala Tencent ialah penyedia utama perkhidmatan menambah nilai Internet di China.

Wanda, khususnya berminat mempromosikan industri pelancongan Malaysia, kata Najib. – Bernama

Share