3 Panduan Kekal Bersemangat…

Sebelum kamu menganalisa diri sendiri dalam tekanan dan rasa rendah diri, terlebih dahulu pastikan anda tidak dikelilingi oleh mereka yang negatif dan persekitaran yang tidak membantu – Sigmund Freud.

Acapkali kita mempersoalkan kebolehan diri. Sering juga kita meragui kekurangan diri sendiri. Ada orang kadang-kadang berjaya, kadang-kadang gagal. Ada orang, gagal itu adalah satu kelaziman. Tetapi adakah itu cara kita untuk mengukur kebolehan diri?

Kita sendiri yang menilai diri kita, keadaan kita, kelebihan dan kelemahan kita. Itu adalah kuasa terbesar setiap insan. Kita ada pilihan dalam melakar kehidupan. Kita sendiri yang wajar mendefinisikan siapa kita. Jangan mudah goyah bila menentang arus. Sentiasa lakukan 3 perkara ini untuk kekal bersemangat dalam hidup.

#Percaya Kepada Diri Sendiri

Tiada orang lain yang boleh atau patut percaya kepada kita selain daripada diri kita sendiri. Tidak dapat dinafikan yang kadang-kadang kita memerlukan pengesahan daripada orang lain untuk meyakinkan bahawa kita punya kelebihan yang tersendiri.  Kadang-kadang kita risau yang kita tidak dapat lakukan sesuatu perkara dengan baik.

Mungkin kerana rasa takut untuk gagal atau mungkin kerana tiada kekuatan untuk membuat sesuatu perkara yang baru. Kita kena percaya kepada diri sendiri, percaya yang jika orang lain boleh melakukannya, mengapa tidak kita? Percaya yang kalau tiada siapa yang pernah membuatnya, mengapa kita tidak boleh memulakannya?

Sama ada perkara yang baik atau buruk akan berlaku kelak, percayalah yang anda boleh melaluinya, anda pasti boleh mendapatkannya, cepat atau lambat. Kalau anda sendiri tidak percaya kepada diri sendiri, bagaimana mahu meyakinkan orang lain untuk percayakan anda?

#Manusia Wajib Membuat Kesilapan

Manusia sifatnya lemah. Hati dan iman kita sentiasa berbolak-balik . Kadang-kadang semangat kita naik, kadang-kadang semangat kita turun. Sebab itu manusia wajib membuat kesilapan. Kerana bila kita buat kesilapan, kita akan berasa lemah. Bila kita berasa lemah kita akan berpaut pada yang gagah. Siapa? Yang Maha Kuat, Yang Maha Gagah, Allah.

Kita akan kembali kepada Allah apabila kita berasa lemah. Kalau kita selalu kuat, tidak pernah silap, kita akan rasa seakan-akan kita ini sempurna. Sebab itu, bila kita terleka, Allah rindu kita. Allah rindu untuk dengar kita merintih memohon kepadanya. Contohnya dalam bisnes, ada yang selalu rugi tak pernah untung, ada yang selalu untung tetapi Allah datangkan ujian kerugian yang teramat besar, hampir nak lingkup perusahaan kita. Kenapa? Kadang-kadang sebab Allah nak tingkatkan iman kita, teruk macam mana pun ujian kita, tawakal kita pada DIA makin bertambah dan berterusan.

Kadang-kadang sebab Allah nak tegur kita, baru pegang duit lebih sikit, solat pun terlambat, sedekah pun jarang-jarang. Kadang-kadang kesilapan berlaku disebabkan kita, kadang-kadang kesilapan berlaku disebabkan orang lain. Apapun, manusia wajib membuat kesilapan. Supaya kita kembali sedar kepada asas tujuan sebenar kita di bumi Tuhan. Walau apapun yang kita lakukan, yang pasti kita harus sentiasa kekal di jalan menuju Tuhan.

#Jangan Buat Perbandingan

Ini adalah satu kesilapan yang kerap dilakukan oleh majoriti orang kita. Kita mudah tidak berpuas hati dengan apa yang kita ada kerana selalu membandingkan diri sendiri dengan orang lain. Memang manusia zahirnya mudah melihat dan tertarik kepada perkara yang menarik, perkara yang hebat. Justeru kita selalu kagum dengan kehebatan orang lain.

Tidak dapat dinafikan, budaya masyarakat yang suka memuji pada yang lebih dan mengeji pada yang kurang membentuk acuan kegusaran untuk mendapatkan pencapaian yang tertentu sedari kecil. Tidak salah mengagumi orang lain sebagai inspirasi cumanya akan jadi salah apabila kita memperkecilkan dan memperlekehkan diri kita sendiri apabila membuat perbandingan. Jangan begitu.

Jangan terlalu memandang apa yang tiada sehingga terlupa pada yang ada. Nikmat yang sudah sedia ada sudah terlalu banyak tak terhitung. Kalau kita tidak dapat bersyukur dengan yang sedikit, bagaimana kita dapat bersyukur dengan yang banyak?

Keinginan manusia terhadap sesuatu tidak akan pernah padam. Itu lumrah. Nescaya kalau diberi segunung emas sekalipun masih belum tentu cukup untuk memenuhi kehendak seorang manusia yang pastinya mahukan lagi dan lagi. Justeru, sentiasalah memandang pada yang berada di bawah, jangan asyik mendongak pada yang berada di atas. Syukur sentiasa. Insya-Allah.

Sumber: MajalahNiaga

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *