hutang negara masih sederhana

hutang-negara-malaysia Source: http://www.nationaldebtclocks.org/debtclock/malaysia

Berikut adalah jawapan PM berkenaan hutang negara. Soalan di tanya oleh  YB Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin bin Mohd Harun Narrashid.

SOALAN
Berasaskan pembentangan Bajet 2017 Jumaat lepas, berapakah sebenarnya jumlah hutang negara dan jumlah jaminan Kerajaan. Apakah tujuan hutang dan jaminan tersebut.

JAWAPAN:

1. Kedudukan terkini jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2016 adalah sebanyak RM655.7 bilion atau 53.2% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Daripada jumlah berkenaan, 95.9% atau RM628.8 bilion adalah hutang domestik (51% daripada KDNK), sementara 4.1% lagi atau RM26.9 bilion (2.2% daripada KDNK) merupakan pinjaman luar pesisir. Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana. Hutang yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan adalah bertujuan bagi membiayai defisit berikutan kekurangan hasil bagi menampung perbelanjaan pembangunan Kerajaan.

2. Pinjaman yang dibuat untuk membiayai perbelanjaan pembangunan adalah perbelanjaan yang produktif yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi dan dapat memanfaatkan rakyat seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan empangan. Selain itu, secara tidak langsung ia memberi manfaat kepada sektor swasta melaksanakan pelbagai program dan aktiviti ekonomi.

3. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, jumlah jaminan yang telah diberikan oleh Kerajaan sehingga Jun 2016 adalah sebanyak RM180.9 bilion atau 14.7% daripada KDNK. Jaminan tersebut diberikan terutamanya kepada entiti awam yang melaksanakan projek infrastruktur seperti DanaInfra, Prasarana dan PTPTN yang terlibat dalam pembinaan infrastruktur seperti MRT, LRT dan penyediaan pinjaman pelajaran untuk pendidikan di peringkat tinggi.

4. Kerajaan terus komited dalam memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi 55% daripada KDNK. Bagi memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan kekal rendah dan terurus, langkah konsolidasi fiskal akan terus diamalkan bagi mengurangkan paras defisit secara berperingkat.

SOALAN
Apakah langkah-langkah Kerajaan bagi mengelakkan jumlah hutang Kerajaan terus meningkat pada masa akan datang.

JAWAPAN:

Kerajaan akan ambil beberapa langkah, pertama untuk memastikan bahawa perbelanjaan mengurus kita tidak melebihi daripada hasil. Maknanya kita mesti memperolehi surplus dari segi akaun semasa Kerajaan.

Kedua kita mesti tentukan pinjaman itu digunakan untuk mengembangkan ekonomi, menambahkan lagi kegiatan ekonomi negara.

Dan di samping itu juga, kita juga memberikan keutamaan kepada pinjaman dalam negeri.
Dengan langkah-langkah sedemikian, termasuk juga perbelanjaan yang berhemat, cekap dan berkesan, mementingkan outcome, Insya-Allah kita dapat menguruskan hutang negara dalam keadaan yang terkawal.

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *